Sunday 23 October 2016

MUSKAT

Muskat merupakan pakaian

 rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Pegawai-Pegawai Istiadat Istana Negara. Baju ini berasal dari Negara Muskat iaitu Negara Islam yang berhampiran dengan Negara Iran. Muskat menjadi pakaian rasmi pegawai-pegawai negeri Kedah.
Pakaian rasmi ini mula dipakai pada tahun 1960 iaitu semasa pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketiga yang diilhamkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Baju ini telah diubahsuai daripada pakaian rasmi pegawai-pegawai kerajaan negeri Kedah.
Baju ini diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam yang dijahit dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya yang melambangkan bunga kebangsaan Malaysia. Baju ini labuh hingga ke paras paha dan berlengan panjang. Pada kebiasaannya, baju ini dipakai bersekali dengan seluar panjang bersulam di kaki dan tengkolok dalam majlis-majlis sempena Hari Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, lawatan-lawatan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke negeri-negeri seluruh Malaysia dan Perasmian Penggal Persidangan Parlimen.
sumber :www.muziumnegara.gov.my

No comments:

Post a Comment